Program Opening Young Eyes (OYEs) Kemahiran

latar belakang

Salah satu usaha meningkatkan kesedaran anak-anak yatim mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran selepas peperiksaan, walau apa pun keputusan SPM yang diterima mereka. Maka program ini dirancang untuk tujuan tersebut. Diharapkan maklumat yang diperolehi oleh mereka melalui program ini akan membolehkan mereka merancang perjalanan cita-cita mereka berdasarkan keputusan peperiksaan dan minat masing-masing. Ia juga adalah sebahagian daripada siri program perkembangan diri pelajar sebagai usaha kita untuk memperkembangkan potensi diri mereka ke tahap yang sewajarnya bagi kehidupan akan datang.

Dalam program ini para pelajar akan dipandu menyiapkan diri dalam persediaan emosi, mental dan fizikal untuk menghadapi peperiksaan, subjek-subjek yang perlu diberi perhatian selaras dengan kehendak-kehendak kursus kemahiran dan institusi kemahiran yang menawarkan kursus tersebut.

Matlamat

Matlamat utama program ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang peluang-peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi yang ditawarkan oleh Institut Latihan Kemahiran (ILK) selepas SPM. Maklumat ini amat perlu bagi penuntut yang kurang baik pencapaian akademiknya. Peluang-peluang pembiayaan pinjaman yang ditawarkan oleh agensi dan badan kerajaan juga diperjelaskan kepada para peserta program ini.

Objektif

  • Membimbing dan membantu para pelajar dalam membuat persediaan memilih subjek-subjek yang menjadi keutamaan ILK selari dengan cita-cita pelajar tersebut.
  • Mendedahkan para pelajar akan peluang-peluang untuk melanjutkan pelajaran selepas peperiksaan SPM tidak kira apa juga keputusannya.
  • Meningkatkan keyakinan diri para pelajar dengan membekalkan ilmu pengetahuan dan hala tuju.
  • Membantu para pelajar agar dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat persijilan sehinggalah ke peringkat menara gading serta mendapat kelulusan ijazah profesional dalam pelbagai bidang dengan cemerlang.