YAYASAN KAMI

lATAR BELAKANG

YATIM ditubuhkan pada tahun 1992 sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan dan memiliki taraf pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (JHDN.01/35/42/51/179-6.4041).

Sejak pelancarannya, YATIM dinaungi oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.Bhg. Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Penasihat YATIM pula adalah mantan Menteri Kewangan Malaysia, Y.A.Bhg. Tun Daim bin Zainuddin.

YATIM adalah satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang memberi perhatian kepada anak-anak yatim yang tidak menginap di asrama atau rumah anak yatim. Ini kerana kenyataannya majoriti anak-anak yatim di Malaysia tinggal bersama keluarga atau pun saudara-mara terdekat.

YATIM sentiasa menerapkan visi dan misi dengan memberi fokus kepada penganjuran program latihan yang menekankan pembudayaan nilai-nilai murni, akademik, kemahiran, kepemimpinan, motivasi, dan nilai tambah kepada anak-anak yatim di seluruh Malaysia tanpa mengira agama dan kaum. Setiap tahun, YATIM menganjurkan kira-kira 60 program dengan penyertaan tahunan melebihi 3000 pelajar.

visi

Menjadi NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang efektif dalam menganjurkan program-program untuk anak-anak yatim seluruh Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang

MISI

Mengukuhkan jatidiri dan potensi diri anak-anak yatim dengan melengkapkan mereka melalui pembudayaan amalan nilai-nilai murni, pengukuhan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi cabaran masa depan melalui penganjuran program-program latihan.

OBJEKTIF

  • Menganjurkan program-program latihan dalam pendidikan akademik dan kemahiran, pembangunan potensi diri dan kepemimpinan, penguasaan bahasa serta program-program kebajikan untuk anak-anak yatim.
  • Mewujudkan dan meluaskan jaringan rakan-rakan usahasama YATIM dengan sektor kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam.
  • Menjadi pusat khidmat setempat menyalurkan maklumat pendidikan dan bantuan kepada masyarakat dan anak-anak yatim yang memerlukan