FALSAFAH DAN PENDEKATAN PROGRAM LATIHAN YATIM
Program latihan pembangunan diri yang dilaksanakan oleh YATIM bertujuan memberi pendedahan kepada konsep pembangunan diri holistik dan meningkatkan kualiti diri anak-anak yatim ke tahap yang lebih tinggi.
Konsep pembangunan diri holistik merujuk kepada pembinaan jati diri menyeluruh merangkumi empat elemen utama, iaitu sikap, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman (SKIP). Untuk tujuan tersebut setiap program yang dilaksanakan akan mengandungi aktiviti yang menerapkan keempat-empat elemen berkenaan.
Mengambil kira kepelbagaian tahap kualiti peserta, program latihan yang dilaksanakan dibahagikan kepada 3 peringkat utama, iaitu tahap pembinaan, tahap pemantapan dan tahap pengukuhan. Program pada tahap pembinaan adalah bersifat hasil segera (low hanging fruits/quick wins) yang bermatlamat memberi pendedahan, pengetahuan serta membina keyakinan untuk berubah ke arah potensi yang diharapkan.
Tahap pemantapan pula memberi fokus kepada matlamat membentuk peserta yang yakin dan berkeupayaan bertindak bagi mencapai sasaran potensi yang ditetapkan. Manakala, pada tahap pengukuhan peserta dilatih untuk mampu bertindak dan mempengaruhi rakan sebaya untuk turut mencapai potensi yang diharapkan. Program-program yang dilaksanakan pada kedua-dua tahap ini adalah bersifat berimpak tinggi.
Menerusi pelaksanaan program ini peserta diharapkan dapat mengenal diri, bertindak dan mempertingkatkan potensi diri secara seimbang ke arah mencapai matlamat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk tujuan tersebut komponen kitaran latihan yang diaplikasikan dalam program latihan anak-anak yatim ini adalah seperti berikut :
Kajian keperluan latihan;
Penetapan objektif kajian;
Penentuan dan pembangunan metodologi latihan;
Pelaksanaan latihan berdasarkan modul latihan; dan
Penilaian keberkesanan latihan.