YATIM adalah satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang memberi perhatian kepada anak-anak yatim yang tidak menginap di asrama atau rumah anak yatim. Ini kerana kenyataannya majoriti anak-anak yatim di Malaysia tinggal bersama keluarga atau pun saudara-mara terdekat.
YATIM sentiasa menerapkan visi dan misi dengan memberi fokus kepada penganjuran program latihan yang menekankan pembudayaan nilai-nilai murni, akademik, kemahiran, kepemimpinan, motivasi, dan nilai tambah kepada anak-anak yatim di seluruh Malaysia tanpa mengira agama dan kaum. Setiap tahun, YATIM menganjurkan kira-kira 60 program dengan penyertaan tahunan melebihi 3000 pelajar.